Kriteria Pemimpin Unggul Muslim

Kriteria pemimpin unggul Muslim

November 2nd, 2007

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Kepemimpinan Rasulullah contoh terbaik sehingga lahir kekuatan ummah

PEMIMPIN mempunyai tanggungjawab yang besar dalam Islam. Pemimpin memikul amanah dan tugas berat kepada rakyat yang dipimpinnya. Malah, seorang pemimpin juga dipertanggungjawabkan di hadapan Allah (SWT) SWT terhadap kepemimpinannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Kalian semua adalah seorang pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinannya.” ( Hadis riwayat Bukhari)

Jelas betapa kepemimpinan adalah satu perkara serius, bukannya perkara remeh temeh sebagaimana dianggap kebanyakan orang Islam. Bukan semua mempunyai kelayakan untuk menjadi seorang pemimpin.

Melihatkan kepentingan kedudukan pemimpin di sisi Allah (SWT) SWT dan umat Islam, maka Islam meletakkan garis panduan ketat mengenai kriteria seorang pemimpin yang berkewibawaan dan berkemampuan untuk memimpin umat Islam ke arah kejayaan.

Barangkali terpahat di minda masyarakat Islam bahawa pemimpin boleh dicari daripada kalangan orang yang berada atau kaya dan berilmu, padahal itu bukan prasyarat utama dalam pemilihan seorang pemimpin.

Kita melihat sendiri bagaimana Rasulullah SAW menolak permintaan Abu Zar yang menginginkan jawatan ketua atau pemimpin di kalangan orang Islam dengan alasan bahawa beliau (Abu Zar) adalah seorang lemah, tidak mampu memikul tanggungjawab seorang pemimpin yang berkaliber.

Ia menunjukkan seorang pemimpin mestilah di kalangan orang benar-benar berkemampuan memikul amanah dan tanggungjawabnya dengan seadil-adilnya.

Lanjutan daripada itu, memadailah bagi umat Islam menjadikan Rasulullah SAW sebagai model dan contoh terbaik dalam kepemimpinan. Baginda SAW memiliki syarat dan kriteria utama untuk ditabalkan sebagai seorang pemimpin yang ideal lagi unik.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW sudah membawa perubahan secara menyeluruh dalam tempoh 23 tahun daripada sebuah masyarakat Arab jahiliah kepada sebuah masyarakat Islam yang bertamadun.

Ia sudah pasti satu perubahan drastik penuh revolusi yang dicipta dalam masa begitu singkat oleh Rasulullah SAW. Baginda berserta sahabat berjaya merakamkan kejayaan dan kegemilangan buat umat Islam hingga Baginda diiktiraf sehingga kini sebagai pemimpin unggul dalam diari kehidupan manusia.

Mengimbau sejarah Islam, kita melihat bagaimana Rasulullah SAW berhasil membentuk sebuah Daulah Madinah yang berlatarbelakangkan piagam Madinah bagi membentuk kekuatan serta kecemerlangan umat Islam ketika itu hingga mengukir sejarah sebagai zaman kegemilangan Islam.

Kemudian, tradisi kecemerlangan itu diteruskan oleh sahabat yang dipelopori KhulafaÂ’ Al-Rasyidin dan mereka berjaya mengabadikan tinta emas dalam perjalanan sejarah Islam. Kemuncaknya, Khalifah Umar bin Abdul Aziz berjaya melebarkan sayap gemilangnya Islam apabila berhasil membentuk sebuah masyarakat Islam yang harmoni dan makmur.

Jelas bahawa rahsia kejayaan penuh gemilang yang dirintis Rasulullah SAW dan sahabat adalah berdasarkan kepada corak kepemimpinan seorang pemimpin dan kerjasama masyarakat Islam dalam merealisasikan cita-cita dan wawasan negara.

Inilah kunci kejayaan sebuah negara berdaulat yang berkait rapat dengan faktor kepemimpinan yang adil dan kerjasama erat rakyat dalam menjana pembangunan negara.

Allah (SWT) SWT menegaskan garis panduan yang perlu diikuti pemimpin ketika memimpin sesebuah masyarakat Islam sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (SWT) (kepadamu wahai Muhammad) engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakal kepada Allah (SWT), sesungguhnya Allah (SWT) Maha Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 159)

Ayat di atas merangkumi perhiasan sifat yang perlu diserlahkan pada seorang pemimpin dan rakyatnya dalam urusan seharian mereka. Ini kerana Islam mengambil berat urusan hidup Muslim sehingga menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi bagi membina sebuah masyarakat adil lagi saksama.

Antara sifat itu, seorang pemimpin dituntut bersikap lemah lembut terhadap rakyatnya tanpa memilih bulu dan tanpa mengambil kira pandangan politiknya. Justeru, seorang pemimpin tidak wajar mempunyai sifat pilih kasih dan bersikap kasar serta berhati keras terhadap sebarang kritikan dan teguran rakyatnya.

Malah, seorang pemimpin mestilah memiliki kesabaran kental dalam menghadapi tuntutan dan kerenah rakyatnya yang pelbagai ragam dan jika boleh, pemimpin perlu berusaha bersungguh menunaikan kewajipannya untuk membantu meningkatkan kesejahteraan rakyatnya kerana itu adalah tanggungjawab mereka sebenarnya.

Akan tetapi, jika seorang pemimpin itu tidak bersikap lemah lembut dan sering menghilangkan diri ketika diperlukan rakyat, rakyat sudah pasti menjauhi pemimpin yang tidak amanah itu. Akhirnya, berlakulah keadaan tidak tenang dan perpecahan mungkin akan melanda masyarakat itu.

Seterusnya, seorang pemimpin juga perlu seorang yang pemaaf dan sentiasa mendoakan rakyatnya supaya diberi keampunan Ilahi dan kesejahteraan hidup.

Kita melihat sendiri bagaimana Rasulullah SAW masih mengekalkan kehidupan sederhana biarpun Baginda adalah seorang pemimpin kaum Muslimin hingga keadaan Baginda ditangisi oleh Saidina Umar al-Khattab.

Ini menunjukkan betapa pentingnya dan perlunya seorang pemimpin mempraktikkan Islam dalam setiap ruang lingkup kehidupannya. Dengan ini, barulah dia dapat menjalankan kepimpinannya dengan penuh adil dan saksama.

Akhirnya, antara pemimpin dan rakyatnya harus saling bermusyawarah pada setiap masa dan ketika sebelum menetapkan sesuatu keputusan muktamad dalam hal berkaitan kepentingan rakyat dan negaranya.

Dengan adanya musyawarah ini, barulah semua pihak dapat berbincang dengan cara baik untuk kepentingan dan kebaikan semua. Maka tidak akan ada lagi dendam kesumat dan bibit perbalahan apabila semua pihak sama ada rakyat dan pemimpin terbabit dalam proses musyawarah tadi.

Keharmonian sudah pasti berhasil dengan kerjasama erat rakyat dan pemimpin, segala wawasan serta cita-cita untuk membangun negara pasti terlaksana.

Setiap pemimpin dan rakyat dituntut bertawakal kepada Allah (SWT) SWT kerana manusia hanya merancang, Allah (SWT) SWT yang menentukan.

Setiap pemimpin mesti menyedari mereka sebenarnya memikul amanah berat sebagai pemimpin. Rakyat harus memainkan peranan positif ke arah menjayakan segala aktiviti supaya mereka dapat menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: